Selasa, 20 Mac 2012

Pembangunan Manjoi masuki fasa kedua

Sumber berita: www.utusan.com.my

Ahmad Husni Hanadzlah (tengah) bersalaman dengan penduduk pada majlis penyampaian peruntukan lapan unit rumah kedai di Kampung Dato' Ahmad Said Tambahan 2, Perak, Ipoh, baru-baru ini.

IPOH 14 Mac - Pembangunan Gugusan Manjoi sebagai perkampungan Melayu moden kini sudah memasuki fasa kedua apabila ia bakal dirancakkan dengan kegiatan ekonomi masyarakat setempat.

Ahli Parlimen Tambun, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah berkata, Gugusan Manjoi yang dahulunya dikategorikan sebagai luar bandar, kini sudah berubah wajah apabila wujud lebih banyak pusat kegiatan ekonomi.

"Kegiatan ekonomi melibatkan masyarakat di kawasan ini tidak seharusnya dianggap lemah walaupun kadangkala memang sukar untuk mendapatkan pembiayaan swasta untuk membangunkannya.

"Sehubungan itu, pendekatan membantu golongan usahawan yang bermula dari bawah ini perlu dilakukan supaya mereka dapat turut sama menyumbang ke arah sasaran negara berpendapatan tinggi," katanya selepas menyempurnakan majlis penyampaian peruntukan lapan unit rumah kedai di Kampung Dato' Ahmad Said Tambahan 2, di sini baru-baru ini.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Manjoi, Datuk Nadzri Ismail.

Dalam pada itu, Ahmad Husni yang juga Menteri Kewangan Kedua berkata, pembinaan lapan unit rumah kedai berkenaan dengan peruntukan RM350,000 itu dijangka siap sepenuhnya menjelang suku ketiga tahun ini.


.

1 ulasan:

  1. Tahniah dan syabas kepada kedua-dua orang Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri yang sentiasa berusaha memberi khidmat yang terbaik untuk kawasan yang diwakili mereka.

    BalasPadam