Rabu, 15 Jun 2011

Memandu di Gugusan Manjoi


Sebaiknya, dapatkan panduan arah tuju yang lengkap sebelum memasuki Gugusan Manjoi sekira anda tidak pernah ke sini. Kalau ada seseorang yang arif tentang jalan-jalan di sini mengikuti anda, itu lebih baik.

Kebanyakan jalan-jalan di sini sempit dan pendek. Kereta (paling banyak), bas dan lori kerap diletakkan sesuka hati di bahu jalan yang sudah sememangnya sempit ini. Secara peribadi, saya lebih suka kalau bas dan lori tidak dibenarkan langsung masuk ke sini, tapi mustahil nampaknya!

Kebanyakan keadaan jalan-jalan di sini adalah membahayakan dan boleh mengakibatkan kemalangan. Kecuali Jalan Menteri, tiada jalan lain di dalam Gugusan Manjoi yang mempunyai lorong pejalan kaki. Jadi, pastikan anda memandu dengan perlahan. Ini termasuklah  semua jenis kenderaan – basikal, motorsikal, kereta. Anggaplah semua persimpangan sebagai berbahaya dan boleh menyebabkan kemalangan. Pastikan anda perlahankan kenderaan anda atau berhenti di semua persimpangan dan lengkungan, terutamanya jika anda tidak nampak kenderaan yang datang dari arah lain dengan jelas akibat pagar rumah yang besar, pokok-pokok, atau kereta yang diletakkan sesuka hati dipersimpangan jalan. Ini kerana, sama seperti tempat lain di Malaysia, ada orang yang tidak pedulikan keselamatan (ataupun nyawa) orang lain. Jadi, mereka tidak mahu berhenti di persimpangan/lampu isyarat.

Sentiasalah berhati-hati lebih-lebih lagi jika anda memandu di belakang basikal dan motorsikal – pengendalian kenderaan mereka di luar jangkaan. Kadang-kadang, mereka mengubah arah atau membuat belokan mengejut kerana mengelakkan lubang atau kucing sesat, kadang-kadang kerana memotong, dan kadang-kadang mereka hilang kawalan atas beberapa sebab (termasuklah bercakap dalam telefon bimbit).

Memandu tanpa lesen, cukai jalan atau insuran adalah sangat biasa di sini. Kanak-kanak bawah umur juga ada yang memandu di sini (biasanya dengan kebenaran ibubapa). Ramai pemandu motorsikal tidak berhelmet. Peliknya, ada yang menanggalkan helmet mereka sebaik sahaja memasuki Gugusan Manjoi. Dan Gugusan Manjoi juga ada Mat Rempit kita sendiri. Mereka sama ada berbasikal atau bermotorsikal, suka menunjukkan kebolehan yang bodoh atas jalan raya umum.

Walau bagaimanapun, masih ramai yang berhemah tinggi dan berbudi bahasa di Gugusan Manjoi. Jika anda memandu dan terdapat makcik-makcik , pakcik-pakcik dan kanak-kanak sekolah berbasikal di atas jalan, berhati-hatilah. Anda tentunya mahu orang lain bertimbang rasa sekiranya mereka adalah ibu, ayah, adik, kakak, abang atau anak-anak anda.

Bersama-samalah kita menjadi penyelesainya.

Peta Google:


View manjoi.my in a larger map

Tiada ulasan:

Catat Ulasan