Jumaat, 22 Jun 2018

Lancar tabung bantu mangsa kebakaran

Shamsul Kamal Amarudin |  Selasa, 19 Jun 2018
shaka@nstp.com.my
Sumber: www.hmetro.com.my



PUSAT Khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Manjoi melancarkan tabung bagi membantu pesara kerajaan yang kerugian besar selepas kediamannya di Kampung Dato’ Ahmad Said Tambahan 3, Manjoi, musnah dalam kebakaran Sabtu lalu.

Kebakaran rumah milik Abd Karim Alang Ahmad, 61, pada 1.40 tengah hari ketika hari kedua Aidilfitri itu memusnahkan sebahagian besar kediaman empat bilik tidur itu dengan kerugian dianggarkan RM280,000.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Manjoi, Asmuni Awi berkata, pihaknya menyumbang peruntukan sebanyak RM10,000 ke dalam tabung berkenaan selain akan memohon sokongan Menteri Besar, Ahmad Faizal Azumu selaku Ahli Parlimen Tambun.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Pendidikan Islam, Industri, Luar Bandar dan Pembangunan Usahawan negeri berkata, sasaran pihaknya ialah mengumpul dana sehingga RM100,000 dalam tempoh sebulan bagi membantu pesara berkenaan membaik pulih kediamannya.

“Jadi, saya berharap orang ramai akan dapat sama-sama membantu memberi sumbangan untuk tabung yang julung kali dilancarkan ini bagi membantu penduduk dilanda musibah,” katanya ketika ditemui pemberita selepas melawat keluarga mangsa di kediaman berkenaan di Ipoh, semalam.


Asmuni berkata, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) serta Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) akan turut membantu menguruskan urusan bayaran rumah sewa buat Abd Karim sekeluarga sementara menunggu rumahnya dibaik pulih.

“Bagaimanapun, perkara berkenaan masih dalam perbincangan khususnya mengenai tempoh pembayaran itu dapat ditanggung kerana Abd Karim kini memperoleh pencen bulanan sebanyak RM400,” katanya.

Sehubungan itu, orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan boleh menghubungi Pegawai Khas Asmuni, Rusli Aris di talian 019-4457299.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan