Selasa, 21 Februari 2012

Manjoi dilanda banjir kilat

Oleh Nurhayati Abdullah  | www.bharian.com.my
bhnews@bharian.com.my
2012/02/21

500 penduduk dipindahkan akibat hujan lebat luar biasa selama beberapa jam

* Klik pada gambar untuk saiz sebenar

Gambar dari www.peraknews.com
Gambar dari peraktoday.com
Gambar dari thestar.com.my
Gambar dari peraktoday.com

IPOH: Lebih 500 penduduk di Gugusan Manjoi, Silibin dan Batu Gajah, dekat sini, dipindahkan ke kawasan selamat selepas kediaman mereka dinaiki air sedalam 0.5 hingga satu meter, pagi semalam, yang juga banjir terburuk dalam tempoh 10 tahun di kawasan itu.

Banjir kilat berpunca daripada hujan lebat selama beberapa jam itu turut menyebabkan empat sekolah terpaksa ditutup semalam.

Paras air meningkat secara mendadak terutama di beberapa sungai berhampiran kawasan kampung seperti Sungai Pari, Sungai Tapah dan Sungai Kinta berikutan hujan lebat luar biasa bermula jam 2 pagi sebelum reda sepenuhnya jam 8 pagi.

Kawasan lain turut terjejas ialah Kampung Manjoi Lama, Kampung Datuk Ahmad Said Tambahan 3, Taman Muhibbah, Lim Garden di Ipoh dan Kampung Sungai Terap di Batu Gajah, selain sebuah jambatan konkrit di Taman Wing Onn, di sini, runtuh akibat arus deras.

Empat sekolah yang ditutup ialah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Puteri, SMK Sungai Pari, Sekolah Kebangsaan (SK) Tarcision Convent dan SK Seri Mutiara. Difahamkan, Pusat Jagaan Anak Yatim Nurul Iman Manjoi juga dinaiki air.

Semua mangsa banjir dipindahkan ke dua pusat pemindahan banjir iaitu di Dewan Orang Ramai Kampung Manjoi dan Sekolah Agama Rakyat Tengku Hussin bagi memudahkan pemantauan dibuat dan bantuan disalurkan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Manjoi, Datuk Nadzri Ismail, berkata kejadian banjir kali ini adalah terburuk dilaporkan berlaku di kawasan Manjoi susulan hujan lebat luar biasa yang berlaku sejak awal pagi semalam.

“Setakat ini, kita mengenal pasti mangsa dari beberapa kampung di kawasan ini antaranya, Kampung Tengku Hussein, Kampung Datuk Ahmad Said dan Kampung Manjoi Lama terpaksa dipindahkan ke pusat pemindahan.

“Kawasan ini dianggap kawasan jingga iaitu paras air yang tidak selamat kepada penduduk setempat. Jadi, semua mangsa ditempatkan di pusat pemindahan itu bagi memudahkan pemantauan serta bantuan disalurkan,” katanya selepas mengadakan tinjauan di beberapa kawasan banjir di kampung itu, semalam.

Sementara itu, Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, turut meluangkan masa hampir sejam melawat beberapa rumah mangsa dan kawasan yang ditenggelami air.

Zambry berkata, kerajaan negeri akan mengambil langkah segera untuk menangani situasi itu, termasuk menyediakan bantuan segera seperti bekalan makanan untuk membantu mangsa terbabit.

“Saya juga sudah mengarahkan Jabatan Pelajaran negeri untuk mengambil tindakan sewajarnya terhadap empat sekolah yang terpaksa ditutup. Saya sudah berbincang dengan jabatan berkenaan mengenai kewajaran sama ada sekolah itu perlu ditutup sementara atau sebaliknya,” katanya.
.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan