20 Februari 2012
IPOH - Seramai 500 penduduk di Gugusan Manjoi terpaksa dipindahkan ke dua pusat pemindahan sementara di sini berikutan banjir yang berpunca akibat hujan lebat luar biasa awal pagi tadi.
Paras air Sungai Pari mula naik sejak jam 2 pagi, menyebabkan jambatan di Taman Wing Onn runtuh akibat dilanda arus deras. Dalam pada itu, laporan Bernama menyebutkan Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, yang meninjau kawasan terjejas di Kampung Manjoi di sini, pagi tadi, berkata kejadian banjir itu dianggap luar biasa berbanding sebelum ini.
Beliau meminta Majlis Keselamatan Negeri dan agensi kerajaan lain menyalurkan segala bentuk bantuan dengan segera terutama keperluan harian dan makanan kepada kesemua mangsa banjir.
"Pihak yang bertanggungjawab juga perlu mengambil langkah segera bagi menghubungkan kawasan ini termasuk jalan raya di kampung-kampung yang rosak," katanya kerajaan negeri akan menyumbang sejumlah peruntukan kepada semua mangsa banjir bagi mengurangkan beban terutama untuk membaik pulih kediaman mereka.
Sementara itu, Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Manjoi Datuk Nazri Ismail berkata menerusi laporan Jabatan Meteorologi, banjir tersebut ditandakan sebagai kawasan Jingga iaitu keadaan yang masih berisiko dilanda banjir semula.
Seorang penduduk di Kampung Manjoi, Che Akhirson Abd Ulrassar, 55, berkata beliau menyedari kejadian itu berlaku apabila seorang penduduk menjerit dengan memberitahu banjir berlaku.
"Pukul enam pagi saya lihat rumah saya dinaiki air sehingga ke paras lutut. Perabot di rumah saya rosak termasuk dua ekor kucing saya mati," katanya ketika ditemui.
Suri rumah Habsah Sharif, 56, berkata kejadian banjir yang berlaku pada hari ini merupakan kejadian yang paling buruk berlaku berbanding sebelum ini.
"Sebelum ini kalau hujan memang air naik tapi tak seteruk hari ini. Habis barang-barang saya tak dapat diselamatkan," katanya yang tinggal bersama suami serta dua orang anaknya.
Klip video dari ThePerakToday
.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan