Rabu, 12 Oktober 2011

Transformasi Luar Bandar fokus Bajet 2012 akan Lengkapkan Pelan Nasional

October 08, 2011 17:51 PM
Sumber: Bernama


IPOH, 8 Okt (Bernama) - Program Transformasi Luar Bandar (RTP) yang merupakan antara fokus utama kerajaan dalam Bajet 2012, akan melengkapkan pelan transformasi negara, kata Menteri Kewangan Kedua Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah.

Beliau berkata RTP akan melengkapkan pelan transformasi yang diumumkan sebelum ini, iaitu Program Transformasi Kerajaan (GTP).

"Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) sebelum ini telah mewujudkan GTP, program transformasi ekonomi, untuk melonjakkan negara ke status negara maju.

"Bajet 2012 yang dibentangkan mencerminkan falsafah kepimpinan beliau yang memperkenalkan 1Malaysia: Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan," katanya kepada pemberita selepas menyerahkan lot tanah kepada 20 penduduk di Jalan Datuk, Kampung Manjoi, di sini hari ini.

Melalui Bajet 2012, RM1 bilion telah diperuntukkan untuk melaksanakan RTP dan lebih RM5 bilion untuk menaiktaraf infrastruktur asas, dan ini termasuk membina rangkaian 2749 km jalan raya yang akan memberi manfaat kepada 2.76 juta penduduk luar bandar.

Ahmad Husni berkata RTP, apabila dilaksanakan, akan membawa manfaat besar kepada penduduk luar bandar dari segi infrastruktur, ekonomi dan pekerjaan.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Tambun, menafikan dakwaan bahawa Bajet 2012 adalah "bajet pilihan raya".

- BERNAMA

Tiada ulasan:

Catat Ulasan