Sabtu, 24 Februari 2018

Kompleks Taman Rekreasi Awam Gugusan Manjoi Siap April Depan

22 Februari 2018
Sumber: www.perak.gov.my


IPOH, 22 FEBRUARI 2018 - Kompleks Taman Rekreasi Awam Gugusan Manjoi, yang menelan belanja hampir RM500,000 dan berkeluasan sekitar 2.4 hektar bakal siap sepenuhnya menjelang April depan.

YB Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Manjoi, Haji Mohamad Ziad Bin Mohamed Zainal Abidin berkata, fasa pertama membabitkan pembinaan kompleks itu telah bermula sejak minggu lalu selain  tertumpu kepada proses perobohan struktur fizikal dan pembersihan kawasan sekitar.

"Kita telah mula sejak awal minggu lalu di mana kerja-kerja pembersihan tertumpu kepada perobohan sebuah bangunan usang dan kawasan semak samun yang terdapat di kawasan tersebut.

"Alhamdulillah, ke semuanya berjalan lancar dan selepas ini kita akan tumpukan kepada pembinaan kompleks berkenaan yang dijangka siap sepenuhnya April ini," ujar beliau ketika ditemui pada Majlis Pecah Tanah Mini Stadium Sungai Tapah.

Hadir sama YAB Menteri Besar, Dato’ Seri DiRaja Dr. Zambry Bin Abd. Kadir dan YB Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Kinta, Dato’ Amiruddin Bin Haji Md Hanapiah.

Beliau berkata, kompleks itu nanti akan dilengkapi dengan kemudahan seperti trek joging, jeti, taman permainan kanak-kanak, kawasan refleksologi dan sebagainya.



"Yang uniknya, taman rekreasi ini sesuai untuk semua lapisan di mana peralatan seperti buaian dan jongkang-jongket yang menjadi permainan kanak-kanak turut boleh digunakan sama oleh orang dewasa untuk tujuan riadah," ujarnya.

Beliau yang juga Ketua Pemuda UMNO Bahagian Tambun menegaskan proses penyelenggaraan kompleks itu nanti akan tertakluk di bawah bidang kuasa Majlis Bandaraya Ipoh (MBI).

"Ini disebabkan MBI telah menjadi pemilik kawasan itu setelah Pejabat Tanah dan Daerah Kinta memberikan kelulusan kepada mereka melalui pewartaan kawasan tersebut sebagai kawasan pembangunan," kata beliau.

Dalam perkembangan berkaitan,  beliau percaya kompleks itu juga nanti akan memberi manfaat kepada 30,000 penduduk yang mendiami Gugusan Manjoi untuk melakukan pelbagai aktiviti sihat di kawasan berkenaan.

"Pembinaan kompleks ini juga dibuat selepas kita mengadakan sesi dialog bersama sebahagian besar masyarakat di sini, dan rata-rata bersetuju untuk dilaksanakan memandangkan sebelum ini ia hanya menjadi tempat melakukan kegiatan tidak bermoral," ujar beliau.




Tiada ulasan:

Catat Ulasan