Isnin, 20 Jun 2011

Stadium Mini Manjoi: Projek Gajah Putih

Suara Penduduk - 20 Jun 2011


Sewaktu Abdullah Ahmad Badawi, Perdana Menteri Malaysia ketika itu datang untuk merasmikan Kompleks Pentadbiran dan Komersial Gugusan Manjoi, ramailah orang berbangga kerana seingat hidup mereka, jarang sekali seorang perdana menteri menjejakkan kaki ke sini. Maklumlah, jalan kita sempit dan tidak rata!

Tapi, Stadium Mini Manjoi, tempat perasmian itu berlangsung, kini berdiri sunyi. Dulunya ia tidak berpagar, jadi kanak-kanak di sini boleh keluar-masuk dan bermain di sini sesuka hati. Walau bagaimanapun, tidak lama dahulu, pagar tinggi telah didirikan dan stadium ini sentiasa dikunci bagi mengelakkan penyagak-penyagak dari masuk.

Malang! Berjuta-juta telah dihabiskan untuk mendirikan sesuatu yang sangat besar, tapi dibiarkan mereput sahaja. Dan padang itu sepatutnya menjadi kawasan permainan kanak-kanak di sini setelah tapak permainan kanak-kanak yang sepatutnya wujud dirampas untuk dijadikan sebuah pasaraya borong.

Tidakkah lebih baik tapak stadium mini itu sekarang dijadikan balai bomba yang sangat diperlukan oleh penduduk di sini? Balai bomba yang paling dekat dengan Gugusan Manjoi adalah di Mengelembu! Jika berlaku kecemasan, bayangkanlah bomba ini terpaksa melalui pekan Ipoh untuk sampai ke sini! Pada waktu puncak lalulintas, nasiblah!

Atau pun, tapak itu dijadikan Klinik Kesihatan Kecil Manjoi yang lebih besar dan moden, kerana klinik yang ada sekarang di Jalan Masjid sangat sempit, kecil, tidak mempunyai tempat letak kereta yang mencukupi, dan pesakit terpaksa menunggu di luar kerana tidak cukup ruang menunggu. Dan jika klinik ini dinaiktaraf, maka letakkanlah dua atau tiga doktor yang berada di sini sepanjang masa, supaya masa menunggu yang berjam-jam itu pada waktu sibuk terasa berbaloinya kerana dapat berjumpa dengan seorang doktor. Penduduk di sini pun sudah 40,000; tidak cukup ramaikah untuk melayakkan lebih dari dua orang doktor??

Atau pun, wang yang dibazirkan untuk projek stadium ini digunakan untuk meratakan dan meluaskan jalan-jalan di Gugusan Manjoi ini – keseluruhannya! Wujudkan juga lorong pejalan kaki. Wujudkan juga lorong penunggang basikal. Lukis garis pembahagi jalan. Buat speed bumps yang sesuai dan ditandakan dengan betul. Kuatkuasakan undang-undang jalan raya di sini, supaya semua pengguna jalan raya di sini terlindung dan terbela.

Penggunaan wang kerajaan untuk projek yang tidak mengutamakan penduduk tempatan seperti ini harus dihentikan. Pembaziran itu musuh kerajaan.

Kami tak perlu projek-projek yang besar. Kami cuma mahu keselamatan dan keselesaan tinggal di kampung kami.

.

1 ulasan:

  1. Forward post ni kepada MB/ADUN supaya ada tindakan yang diambil.

    BalasPadam