Isnin, 20 Jun 2011

Projek Pasaraya Mydin tetap diteruskan dan telah pun bermula pembinaannya

Suara Penduduk - 21 Jun 2011

Papan kenyataan kerja pembinaan dan kerja-kerja pembinaan yang sedang dijalankan (Jun 2011). Klik pada gambar untuk saiz sebenar.

Cadangan pembangunan yang terdiri daripada:

Pasaraya dua tingkat yang mengandungi:
1) Pasaraya borong, medan selera, gedung membeli-belah, tapak permainan kanak-kanak, pencawang elektrik, sebuah ponsok perhentian bas dan tempat letak kereta di tingkat bawah.

2) Pasaraya borong, pejabat dan gedung di tingkat satu.

Di atas sebahagian Lot 31998, Gugusan Manjoi, Mukim Hulu Kinta, Daerah Kinta, Perak Darul Ridzuan.

Untuk Tetuan:- Mydin Wholesale Cash & Carry (M) Sdn. Bhd.

Pemilik: Mydin Wholesale Cash & Carry (M) Sdn. Bhd. Subang Jaya, Selangor

Arkitek: Keat Hiew Architect, Petaling Jaya, Selangor

Jurutera Awam dan Struktur: TDC Engineering Consultants Sdn. Bhd., Shah Alam, Selangor

Jurutera Mekanikal dan Elektrikal: Norman, Disney & Young Sdn. Bhd., Petaling Jaya, Selangor

Jurukur Bahan: KCL QS Konsult, Segambut, Kuala Lumpur

Kontraktor: Geohan Sdn. Bhd., Kuala Lumpur

No. Rujukan Kelulusan Pelan: OSC(073A) L/B/2/36/454/10


Begitulah bunyinya papan tanda projek di Lorong Pasar yang dipasang diluar pagar kawasan pembinaan Pasaraya Mydin, walaupun projek ini telah mendapat tentangan dari sebahagian penduduk di Gugusan Manjoi ini.

Tajul Rosli juga pernah berkata bahawa tanah dalam Gugusan Manjoi ini tidak akan dibenarkan dijual kepada mana-mana pihak luar. Pasaraya Mydin ini pula, bagaimana? Kalau mengikutkan papan tanda ini, Mydin merupakan PEMILIK bangunan ini.

Tapak ini dahulunya sebuah padang dan taman permainan kanak-kanak bagi kawasan Sg. Tapah, Sg. Tapah Seberang dan Sg. Tapah Tambahan. Saya sendiri dulu pernah bermain di sini. Terdapat sebuah padang yang tidak berumput dan sebuah gelangang sepak takraw/badminton dahulunya. Tetapi, tidak lama dulu sebahagian darinya telah dijadikan sebuah kawasan komersial yang terdiri dari beberapa kedai-kedai kecil untuk peniaga-peniaga kecil di sini. Dan telah dibina juga tapak permainan kecil dengan papan gelongsor, jongkang-jongkit dan sebagainya.

Tidakkah sepatutnya mengikut syarat kelulusan pembinaan kawasan perumahan, sesebuah kawasan perumahan itu perlu mempunyai sekurang-kurangnya satu padang permainan/rekreasi? Taman Kledang Raya, Taman Saz dan taman-taman perumahan yang lain di sekitar Jelapang/Silibin setiap satunya mempunyai satu padang permainan/padang. Padahal, taman-taman perumahan ini lebih kecil jika dibandingkan dengan gabungan ketiga-tiga kampung ini - Sg. Tapah, Sg. Tapah Seberang dan Sg. Tapah Tambahan.

Sewaktu siapnya Stadium Mini Manjoi, harapan saya menggunung juga, bahawa akhirnya dapat juga orang Sg. Tapah bermain atas padang berumput pada waktu pagi/petang sesuka hati. Tapi, harapan saya berkecai bila stadium ini dipagar dan dikunci setiap masa. Maklumlah, kalau tidak dipagar, menjadi sarang maksiat dan hilang pula pekakas-pekakasnya – Manjoi ni boleh tahan juga penyagaknya.

Terdapat sekurang-kurangnya 200 peniaga di Gugusan Manjoi. Isu yang lebih besar sebenarnya ialah, dapatkah peruncit-peruncit dan peniaga-peniaga kecil di sini bersaing dengan sebuah PASARAYA BORONG nanti? Dalam masa kerajaan negeri mahu meningkatkan ekonomi penduduk Gugusan Manjoi, tindakan meletakkan sebuah pasaraya borong sudah tentunya akan menekan peruncit dan peniaga kecil-kecilan di sini. Ini tidak menggambarkan keikhlasan kerajaan negeri dalam isu ini.

Bukankah Pasaraya Mydin sedang dibina di Meru? Apakah terdesaknya mewujudkan sebuah lagi Mydin di sini?

Kerajaan negeri juga menyatakan bahawa Gugusan Manjoi ini mahu dimajukan sebagai sebuah zon komersial yang produktif. Adakah kerajaan negeri sudah tidak boleh melihat, bahawa Gugusan Manjoi ini adalah sebuah kawasan perumahan. Zon komersial sepatutnya dibuka di kawasan komersial, bukan di kawasan perumahan. Keadaan jalan-jalan dan rumah-rumah di sini tidak sesuai dijadikan sebuah zon komersial.

Setelah terbinanya Pejabat Tanah ditengah-tengah Gugusan Manjoi ini, semua penduduk Manjoi nampak bahawa kadar lalulintas di sini telah naik secara mendadak. Dengan keadaan jalan raya yang hampir semuanya sempit dan tidak rata, dan tidak mempunyai lorong pejalan kaki dan penunggang basikal, ianya sangat membahayakan keselamatan penduduk di sini, terutamanya kanak-kanak dan orang tua, yang merupakan sebahagian besar populasi di sini.

Kenapa tidak dinaiktaraf dahulu jalan raya dan wujudkan lorong pejalan kaki dan penunggang basikal untuk penduduk Manjoi ini, sebelum dibawa masuk semua jenis kenderaan dari luar, dan projek-projek yang hanya menguntungkan ekonomi sebilangan kecil sahaja penduduk di sini?

Dengan ketiadaan tapak permainan yang sepatutnya berdekatan, ramai kanak-kanak di sini terpaksa berbasikal jauh untuk bermain di padang. Dan berbasikal di Gugusan Manjoi adalah satu pekerjaan yang membahayakan! Itu pun kalau mereka mempunyai basikal/mahu berbasikal. Kalau tidak, maka merekalah yang kita nampak bermain di tepi-tepi jalan, atau pun di atas jalan!

Dan jika perkhidmatan bas dibawa masuk semula  ke sini, maka lebih mustahaklah kerajaan negeri dengan segera membaiki keadaan jalan-jalan di sini dan melebarkan semua laluan bas.

Kemenangan tipis kerajaan negeri sekarang sepatutnya dijadikan peluang untuk mendengar suara rakyat. Kami tak perlu projek-projek yang besar. Kami cuma mahu keselamatan dan keselesaan tinggal di kampung kami.

Lagi satu: anda perasan tak? Tidak ada satu pun dari syarikat-syarikat yang dibayar untuk menyiapkan projek ini datangnya dari Perak. Mengembalikan bakat orang Perak ke negeri Perak semula? Kerajaan negeri perlulah menunjukkan contoh yang lebih baik!
.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan