Isnin, 8 Disember 2014

Lebih 70 Rumah Rosak Akibat Ribut Di Manjoi

Isnin, 8 Disember 2014 | peraktoday.com.my


PERAK TODAY 12 (1)  

IPOH: Lebih 70 buah rumah di Kampung Tengku Hussein dan Kampung Sungai Tapah dekat Manjoi di sini telah mengalami kerosakan akibat dilanda ribut dan angin.

Kejadian yang dilaporkan berlaku kira-kira jam 2.45 petang semalam telah merosakan dan menerbangkan bumbung penduduk di sini.

Salah seorang saksi kejadian, Mohamad Fauzi Taharin, 61, menceritakan bagaimana detik-detik cemas ribut itu melanda daripada awal sehingga menerbangkan bumbung beberapa buah rumah bersebelahan.

“Ketika itu, saya sedang mesin rumput di luar rumah dan isteri saya berada di hadapan sementara ibu bapa saya yang uzur berada di dalam rumah.

“Tiba-tiba saya nampak awan berwarna hitam disusuli dengan angin kuat datang dari arah belakang rumah dengan membawa serpihan bumbung rumah,” katanya kepada PerakToday di sini, hari ini.

Katanya, kejadian itu berlaku terlalu pantas dan hanya mampu melaungkan azan bagi mengatasi ketakutan melihat kejadian tersebut.

“Saya sudah 57 tahun tinggal di sini dan memelihara ibu bapa saya yang uzur… apabila kejadian ini melanda, perasaan risau dan takut itu timbul berikutan bimbang sesuatu yang buruk berlaku, ” katanya.

ribut

Sementara itu, seorang lagi mangsa, Mazwin Mokhtar, 35, berkata, hampir 90 peratus bumbung rumahnya telah diterbangkan akibat ribut.

“Semasa kejadian kira-kira jam 2.30 petang, angin kuat luar biasa dan ketika itu, saya berada di dalam rumah bersama suami dan empat orang anak, berusia dua hingga 18 tahun.

“Kami hanya mampu berlindung di dalam sebuah bilik disaat angin menerbangkan hampir keseluruhan bumbung serta merosakkan barangan di rumah ini,” ujarnya.

Jelasnya yang bekerja sebagai operator itu, beliau mengalami kesukaran berikutan kerosakan yang dialami agak teruk dan memerlukan bantuan dengan segera.

ribut1

“Saya hanya bekerja sebagai operator di sebuah kilang percetakan manakala suami saya pemandu lori, dan ini menyebabkan kami mengalami kesukaran untuk menampung perbelanjaan membaiki kerosakan yang dialami.

“Saya berharap bantuan segera dapat diberikan, apatah lagi anak-anak sudah hendak memulakan persekolahan,” tambahnya lagi.

Kamariah Yaakob yang juga salah seorang mangsa dalam kejadian tersebut turut melahirkan rasa terkejut dan tidak menyangka ditimpa tragedi itu.

“Masa itu, makcik baru hendak minum tetapi terkejut mendengar bunyi yang kuat dari luar. Angin kuat itu juga telah merosakan bahagian belakang rumah makcik dan ini merupakan kejadian yang terburuk pernah berlaku,” ujarnya.





Tiada ulasan:

Catat Ulasan