Rabu, 28 Mei 2014

Sultan Perak mangkat

themalaysianinsider.com | 28 Mei 2014


Sultan Perak, Sultan Azlan Muhibbuddin Shah ibni almarhum Sultan Yussuf Izzuddin Shah mangkat pada jam 1.30 petang hari ini, kata Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.

Menteri besar Perak itu mengumumkan perkara itu dari Kuala Kangsar, Perak dan disiarkan secara langsung oleh Radio Televisyen Malaysia (RTM) sebentar tadi.

Almarhum berusia 86 tahun.

Baginda meninggalkan isteri, Raja Permaisuri Tuanku Bainun Muhammad Ali, seorang bekas guru, dan empat anak mereka iaitu Raja Muda Perak, Raja Nazrin Shah; Raja Datuk Seri Azureen Shah, Raja Eleena dan Raja Yong Sofia. Seorang lagi putera, Raja Ashman Shah meninggal dunia pada 2012.

Orang awam dijadual memberikan penghormatan terakhir kepada jenazah Almarhum Sultan Azlan Shah bermula pukul 9 pagi hingga 11.30 pagi di Balairong Seri, Istana Iskandariah, Bukit Chandan di sini.
 
Menurut kenyataan yang dikeluarkan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perak malam ini, kumpulan kedua yang akan memberi penghormatan terakhir pada pukul 11.45 pagi hingga 1.15 tengah hari adalah orang kenamaan, menteri, timbalan menteri, menteri besar, ketua menteri dan perwakilan asing.
 
Ia disusuli Raja-raja Melayu, Yang Dipertua Negeri, Ketua Negara dan Ketua Kerajaan pada 1.30 petang hingga 2.15 petang.

Pengembumian akan diadakan esok selepas solat Asar di Makam Diraja Kuala Kangsar.

Istiadat pelantikan dan pengisytiharan Sultan Perak yang baharu akan diadakan di Balairong Seri Istana Iskandariah, Kuala Kangsar pada petang esok. Setiausaha Dewan Negara Perak Datuk Ayob Hashim berkata istiadat tersebut akan dijalankan sebelum istiadat pengebumian jenazah Almarhum Sultan Azlan Shah, yang mangkat hari ini.
 
Beliau berkata satu mesyuarat khas Dewan Negara Perak akan diadakan lewat petang ini bagi menentukan pengganti Sultan Azlan Shah untuk menerajui takhta pemerintahan negeri Perak.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan