Gambar dari peraknews.com |
Sebanyak 23 bumbung rumah di Kampung Manjoi di sini mengalami kerosakan akibat dilanda ribut lewat petang semalam.
Menurut mangsa kejadian Shahrun Zulkifli,38, "Ketika kejadian saya sedang duduk di depan rumah, tiba-tiba angin kuat datang dengan kuat sekali dan menerbangkan kesemua atap rumah yang ada di sini. Nasib baik saya sempat mengambil anak-anak saya untuk berlindung di tempat yang selamat," jelasnya ketika di temubual.
Menurut seorang lagi mangsa Noraini Awang,52 kejadian itu merupakan kali pertama yang pernah terjadi pada kawasan itu. "Mula-mula angin itu datang dengan perlahan jadi saya ingatkan ia merupakan angin yang biasa, tetapi selang 5 minit selepas itu angin yang sangat kuat pula datang, habis semua atap-atap rumah saya berterbangan," menurutnya.
Anggota Dewan Undangan Negeri Manjoi Mohamad Ziad Mohamed Zainal Abidin berkata kejadian pada pukul 6.45 petang itu mengakibatkan beberapa bumbung rumah ranap manakala yang lain mengalami sedikit kerosakan akibat kejadian itu.
Bumbung rosak membabitkan 13 buah rumah di Jalan Juara, Jalan Pemimpin (empat buah), Jalan Menteri (empat), Jalan Perwira (1) dan Jalan Pegawai (1), katanya.
Katanya kejadian itu dimaklumkan oleh seorang jemaah pada satu program yang berlangsung di sebuah surau di Kampung Manjoi semalam, katanya.
Beliau berkata empat keluarga yang tinggal di rumah sewa di Jalan Pemimpin dipindahkan ke pusat pemindahan Dewan Orang Ramai Manjoi hari ini.
"Mereka tinggal di pusat pemindahan sehingga bumbung rumah mereka siap dibaiki dan sumbangan dari Jabatan Kebajikan Masyarakat akan diberikan," katanya.
"Buat sementara ini bumbung rumah mangsa diganti dengan plastik tebal kerana kita mempunyai kekangan untuk mendapatkan bumbung baru berikutan hari ini merupakan cuti umum, namun pengedar berjanji untuk memberi bumbung baru itu esok," katanya.
Tiada kemalangan jiwa dilaporkan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan